fbpx

K2

Guna bomoh cari orang hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RITUAL perbomohan yang sengaja diada-adakan tanpa dalil dan asas dalam Islam adalah haram. – Gambar hiasan

Saya melihat di media sosial seorang bomoh menggunakan cara perbomohan yang agak pelik untuk menemukan mangsa hilang. Saya ingin bertanya, adakah perbuatan tersebut sesuatu yang dibenarkan oleh syarak atau tidak? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan: Sesungguhnya, suatu amalan agama yang diada-adakan dan bercanggah dengan syariat Islam merupakan perbuatan yang haram dan berdosa. Ini berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW bahawa: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (agama), apa yang bukan berasal daripadanya, maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim: 1718)

Hal ini termasuklah ritual perbomohan yang sengaja diada-adakan tanpa dalil dan asas daripada nas-nas syarak seperti memusingkan kain, merenjiskan air dan mendakwa hal-hal tidak masuk akal. Ia juga termasuk perkara khurafat dan tahyul yang tiada asas serta sumber jelas bagi penggunaan cara-cara tersebut.

Bagaimanapun, sekiranya sesuatu amalan itu menepati cara dibenarkan syarak dan tidak melanggarnya seperti cara ruqyah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir dan doa ma’thur, maka ia merupakan sesuatu yang harus dilakukan.

Hal ini disebutkan dalam banyak hadis daripada Rasulullah SAW dan dijelaskan oleh ramai para ulama. Antaranya, Imam al-Nawawi menyebutkan ketika mensyarahkan hadis-hadis dalam Bab Perubatan, Sakit dan Ruqyah bahawa: “Sesungguhnya malaikat Jibril AS telah meruqyah Nabi SAW dan disebut dalam hadis selepasnya berkaitan ruqyah.”

Dalam hadis yang lain yang menyatakan ‘golongan yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab, mereka tidak meruqyah dan tidak meminta untuk diruqyah serta mereka sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.

Kemungkinan akan berlaku percanggahan bagi hadis-hadis ini (yang mengharuskan ruqyah), namun sebenarnya tiada percanggahan. Bahkan, ia adalah suatu pujian terhadap perbuatan meninggalkan ruqyah.
Ruqyah di sini bermaksud kata-kata yang mengandungi kata-kata kafir, ruqyah yang tidak diketahui dan dengan bahasa selain bahasa Arab yang tidak diketahui maknanya.
Ruqyah seperti ini adalah ruqyah yang tercela kerana berkemungkinan maknanya mengandungi kekufuran atau sesuatu yang hampir kepadanya atau perkara makruh.

Ada pun ruqyah menggunakan ayat al-Quran, zikir-zikir yang diketahui, maka tiada larangan baginya, bahkan hukumnya adalah sunat.

Selain itu, perbuatan yang dilakukan tersebut melanggar garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi amalan perbomohan menurut Islam.

Hal ini seperti mendakwa perkara-perkara ghaib dan menyebut bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya.

Di samping itu, diingatkan bahawa individu yang melakukan perbuatan ini boleh didakwa di bawah seksyen 7(a), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), bagi kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Oleh yang demikian, hendaklah kita menjauhi perbuatan khurafat dan tahyul yang tidak berasas dengan ilmu yang benar.

Sebaliknya, kita menumpukan kepada cara-cara yang diajarkan oleh syarak dan usaha-usaha efektif bagi menyelesaikan masalah ini. Waallahu a’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI