PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila tanpa sedar dia telah mencederakan anak tunggalnya gara-gara tertekan selepas menjadi mangsa buli di tempat kerja.
Berkongsi cerita di kumpulan Facebook, Luahan Hati Seorang Isteri, wanita dikenali sebagai Erra berkata, hampir setahun rakan sekerjanya menabur fitnah sehingga dia ‘dipalau’ oleh kakitangan lain.
“Dah hampir setahun saya hadap masalah ini. Dibuli dengan teruk mental dan fizikal. Ada seorang (kakitangan) ini dia sangat dengki jika saya dipuji oleh bos, dapat ganjaran daripada syarikat. Itu semua hasil usaha saya sendiri.
“Dia tabur fitnah tentang saya kepada kawan-kawan lain, saya tertekan sampai alami kemurungan dan lebih teruk setiap kali saya dibuli di (tempat) kerja, balik rumah saya akan lepaskan kepada anak.
“Saya pukul anak yang berumur lapan tahun. Saya pukul seperti saya melepaskan marah kepada pembuli itu. Allah, kejamnya saya pada anak. Tapi kesan dibuli itu memang buat saya hilang waras,” luahnya.
Dalam pada itu, Erra menegaskan pihak syarikat perlu memainkan peranan lebih serius sekiranya menerima aduan berkaitan buli daripada golongan pekerja.
“Mungkin orang kata biasalah buli di tempat kerja, tetapi jangan kita normalisasikan perkara itu. Mengadu kepada pengurusan sudah dua bulan (namun) tiada sebarang tindakan. Tolonglah main peranan lebih tegas (untuk) tangani isu buli di tempat kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE