PETALING JAYA- Elridge Energy Berhad (Elridge Energy) melalui anak syarikatnya Bio Eneco Sdn. Bhd. (Bio Eneco) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PT Orion APAC Indonesia (Orion), syarikat pembekal dan peniaga bahan api biojisim antarabangsa.
Melalui kerjasama tersebut, Elridge Energy akan membekalkan 150,000 tan metrik (MT) cangkerang isirong sawit setiap tahun dalam tempoh tiga tahun kepada Orion yang bermula pada April 2025 dan akan berakhir pada Mac 2028.
Kontrak tersebut juga termasuk pilihan untuk pembaharuan automatik bagi tambahan tiga tahun, tertakluk kepada terma dan syarat yang dirundingkan semula.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, perjanjian jangka panjang itu, sekali gus mencerminkan komitmen mereka untuk menyampaikan produk bahan api biojisim berkualiti tinggi syarikat itu di seluruh rantau Asia-Pasifik.
“Kerjasama ini membuktikan kepercayaan dan keyakinan daripada syarikat antarabangsa itu terhadap produk dan keupayaan kami, tambahan dengan hubungan perniagaan dan perjanjian kami yang berjaya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Orion, Max Marcus berkata, kerjasama berterusan dengan Elridge Energy telah memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan yang meningkat untuk bahan api biojisim yang mampan.
“Kami yakin dengan keupayaan Elridge Energy untuk menyampaikan produk peringkat teratas secara konsisten, dan kami menjangkakan bahawa perjanjian baharu ini akan diteruskan untuk mengukuhkan kerjasama kami dan memacu pertumbuhan bersama pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Selain itu, perjanjian tersebut membuktikan dedikasi kedua-dua syarikat tersebut untuk menggalakkan tenaga boleh diperbaharui dan menyokong usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Kedua-dua syarikat berkenaan juga bersedia untuk memainkan peranan penting dalam peralihan ke arah yang mampan di masa akan datang. -KOSMO! ONLINE