KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tindakan tegas dan penyiasatan adil dijalankan susulan dakwaan seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki termasuk seorang anak VVIP.
Baginda bertitah demikian dalam status yang dimuat menerusi aplikasi sosial Instagram milik baginda.
“Saya mahu pihak polis menyiasat kes ini dengan segera, telus, adik dan tegas tanpa kompromi mana-mana pihak. Tiada siapa pun mengatasi undang-undang termasuk kerabat,” titah baginda.
Tengku Hassanal turut menegaskan baginda sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Terdahulu media melaporkan seorang lelaki mendakwa telah dipukul, ditikam dan ditembak sekumpulan lelaki termasuk seorang anak VVIP di sebuah kandang kuda, di sini pada 6 Jun lalu.
Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan berumur 44 tahun itu berkata, dirinya mengalami kecederaan di bahagian paha kanan setelah ditikam dengan sebilah pisau. – KOSMO! ONLINE