fbpx

Buruh tetak polis guna gunting pokok dijel, sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis semasa melakukan tangkapan terhadapnya di Kampung Kijang, Badang, di sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Tarmizi Ishak, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dalam satu prosiding tertutup di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.

Lelaki itu dimasukkan ke HRPZ II apabila cedera pada bahagian paha kirinya selepas ditembak oleh anggota polis kerana bertindak agresif semasa tangkapan dijalankan.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Tarmizi didakwa mencederakan kedua-dua lengan seorang anggota polis berusia 31 tahun menggunakan sebilah gunting pemotong pokok yang dilerai untuk dijadikan senjata.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu anggota Balai Polis Badang semasa menjalankan kewajipannya.

Ahmad Tarmizi dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kampung Kijang, Badang, Jalan Kuala Besar, di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 31 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Bakri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Akmal mencadangkan hukuman berat dikenakan kerana tertuduh menggunakan senjata terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

“Hukuman berat merupakan satu mesej jelas kepada masyarakat untuk menghormati penguat kuasa yang menjalankan tugas dalam mencegah jenayah,” ujarnya.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman, menasihati tertuduh agar menghormati tugas penjawat awam dan tindakannya itu merisikokan keselamatan anggota polis terlibat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun untuk pertuduhan pertama dan satu sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan satu tahun.

Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan diperintahkan berjalan serentak bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera selepas ditetak dengan dua bilah gunting sewaktu menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Kijang, Badang dekat sini pada 31 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke rumah itu untuk menangkap suspek pada pukul 1 pagi selepas menerima maklumat mengenai satu kes khianat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI