fbpx

Bunga lawang ada yang beracun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suri kongsikan perbezaan bunga lawang Cina dan bunga lawang Jepun di Facebooknya.

PETALING JAYA – Hati-hati, tidak semua bunga lawang boleh dimakan kerana ada yang mengandungi racun.

Menurut Saintis Utama di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Suri Roowi, terdapat dua jenis bunga lawang iaitu bunga lawang Cina dan bunga lawang Jepun.

“Walaupun mempunyai bentuk yang serupa, bunga lawang Cina tidak beracun tetapi bunga lawang Jepun mengandungi racun.

“Bunga lawang Jepun mempunyai bentuk yang sama dengan bunga lawang Cina tetapi buahnya lebih kecil dan kurang bau,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Jelas beliau, bunga lawang Jepun biasa digunakan sebagai racun ikan dan juga racun perosak. Ia juga digunakan untuk mengatasi masalah sakit gigi dan sakit kulit.

“Bahan toksin dalam bunga lawang Jepun dikenali sebagai anisatin.

“Terdapat kemungkinan produk bunga lawang Cina dicemari dengan bunga lawang Jepun kerana sukar untuk membezakan kedua-duanya,” katanya.

Terang beliau, satu-satunya cara untuk membezakannya adalah menerusi analisis kimia atau dengan melihatnya di bawah mikroskop.

Ujarnya lagi, terdapat laporan seorang bayi mengalami masalah serius dan hampir maut setelah diberi minum air bunga lawang.

“Insiden ini berlaku mungkin disebabkan oleh bunga lawang Cina dicemari dengan bunga lawang Jepun.

“Oleh itu, elakkan memberikan ekstrak air bunga lawang kepada bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Suri berkata, di Eropah, bunga lawang Cina sering digunakan dan dicampurkan dalam minuman teh untuk kurangkan stres.

“Walau bagaimanapun, terdapat laporan dari Perancis, Sepanyol dan Switzerland menunjukkan peminum air bunga lawang tercemar dengan bunga lawang Jepun boleh menyebabkan masalah seperti halusinasi dan loya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI