fbpx

Buaya tasik Shah Alam dipindahkan ke Dengkil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buaya yang berjaya ditangkap Perhilitan Selangor di Taman Tasik Seksyen 7, malam tadi. Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Kajian perilaku dan pergerakan buaya yang tepat menjadi faktor kejayaan utama penangkapan buaya tembaga jantan di Taman Tasik Seksyen 7, di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, ia seterusnya membolehkan dua perangkap dipasang pada kedudukan yang betul.

Katanya, turut membantu operasi tersebut adalah tindakan penutupan kawasan taman pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan serta ancaman dalam proses penangkapan terbabit.

“Operasi menyelamat buaya ini paling singkat kita dilakukan setakat ini iaitu kurang 24 jam. Kita pasang dua perangkap di lokasi berasingan bermula pukul 10 pagi tadi (semalam) dan syukur dapat selamatkan reptilia bersaiz sederhana itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter dan seberat kira-kira 20 kilogram berjaya ditangkap kira-kira pukul 10.20 malam.

Tangkapan dibuat selepas buaya itu memasuki perangkap pertama dengan umpan segar yang dipasang 10 pagi semalam.

Wan Mohd. Adib memaklumkan buaya itu dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil bagi pemeriksaan lanjut dan memastikan reptilia tersebut tidak membawa sebarang penyakit.

Ditanya mengenai punca kehadiran buaya itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat dan tidak menolak kemungkinan sama ada ia sesat atau dibuang pihak tertentu.

“Tasik ini ada beberapa laluan saliran yang mungkin dimasuki buaya itu ketika hujan lebat atau banjir kilat. Selain itu, ia juga mungkin dibuang ke dalam oleh pihak tertentu. Namun, perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati pasukan Perhilitan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan polis mengawal ketat kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku kepada orang awam yang turut menyaksikan penemuan buaya tersebut.

Buaya itu berjaya dibawa naik dari dalam tasik kira-kira pukul 12.05 tengah malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI