KUALA SELANGOR – Bekas isteri pengarah Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar hanya memanjatkan rasa syukur selepas semua urusan perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini berjalan dengan lancar.
Seperti Syamsul, Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, selaku plaintif juga enggan memberi sebarang komen mengenai kes perceraiannya hari ini.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Minta maaf (enggan komen).
“Saya okey, alhamdulillah,” katanya ringkas.
Dia juga yang diwakili peguam syarie, Mohammad Fadhil Abdul Razak juga kelihatan tenang selepas keluar dari dewan bicara.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh pengarah sensasi, Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd. Rais berkata, Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.
“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai pada hari ini di mana mahkamah mendapati Ira sudah melanggar taklik.
“Ada pelanggaran taklik yang sudah dilakukan Ira dan mahkamah berpuas hati bahawa memang berlakunya lafaz taklik dan mendapat bahawa Ira melanggar taklik tersebut sebanyak lima kali yang mana kali pertama pada 14 Ogos.
“Perkara itu berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Idah juga bermula pada tarikh yang sama (14 Ogos),” jelasnya.
Pada 16 Ogos lalu, Syamsul mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.
Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE