TANJUNG MALIM – Laluan khas akan disediakan buat kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di universiti awam untuk menyertai Angkatan Tentera (ATM) apabila tamat pengajian ijazah sarjana muda, bermula tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak ATM sudah bersetuju untuk menyediakan 100 tempat khas membabitkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara.
Beliau malah berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk menanggung sebahagian daripada bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi 100 pegawai kadet Palapes terbabit.
“Langkah ini dapat memenuhi usaha kita untuk menjayakan angkatan masa depan bersandarkan kepada ancaman-ancaman bukan tradisional serta cabaran kemajuan teknologi.
“Kita memang perlukan anggota-anggota ATM kita, pegawai-pegawai yang memiliki pelbagai latar belakang ilmu dan kemahiran. aluan khas itu akan menjadi sebahagian daripada proses rekrut ATM setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Executive Lecture Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Univerisiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.
Mengenai bidang pengajian yang menjadi prasyarat kemasukan ke laluan khas itu, Mohamed Khaled berkata, ia bergantung kepada keperluan setiap cabang perkhidmatan kententeraan. – KOSMO! ONLINE