fbpx

‘Work based learning’ lahirkan tenaga kerja mahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry (dua dari kanan) menyampaikan dokumen MoU antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti JPPKK dan industri pada Majlis Perasmian Program Industri Nexus INDex POLYCC 2024 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, Ipoh hari ini. - FOTO /MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperluaskan program pembelajaran dalam alam pekerjaan atau work based learning (WBL) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang mendapat pendedahan secara langsung daripada pihak industri.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, menerusi program itu, proses pembelajaran pelajar tidak hanya tertumpu di dalam kampus sebaliknya memperoleh pengalaman kerja sebelum tamat pengajian.

Katanya, transformasi dalam sistem pendidikan tinggi itu perlu ekoran dunia sedang mengalami pembangunan pesat yang memerlukan kemahiran baharu dalam bidang pekerjaan.

“Kementerian diberi tugas khas untuk merancang semula dari segi sistem pendidikan teknikal khususnya dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja yang diperlukan dalam industri dapat diurus dan diselaraskan.

“Oleh itu, kita telah menggunakan pendekatan ‘triple helix’ di mana akan wujud kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.

“Menerusi kerjasama itu, pihak industri juga akan mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan akhirnya akan membuka ruang praktikal untuk pelajar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran INDex Nexus POLYCC 2024: Sinergi antara POLYCC dan Industri di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Menurut Zambry, di bawah sistem pembelajaran berasaskan kerja, pelajar akan melanjutkan pelajaran di kampus universiti selama dua tahun dan akan meneruskan baki satu atau dua tahun dengan industri terpilih.

Katanya, buat masa ini, program itu telah dilaksanakan di Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

“Bagi peringkat politeknik, terdapat beberapa politeknik telah menjayakannya termasuk Politeknik Ungku Omar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI