SHAH ALAM – Dua perangkap dengan umpan ayam akan dipasang bagi menangkap buaya tembaga di Taman Tasik Seksyen 7 di sini, hari ini.
Kedua-dua perangkap termasuk satu dipinjam dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dipasang di dua kawasan tebing tasik buatan tersebut menerusi Op Buaya Shah Alam.
Jarak bagi setiap perangkap adalah kira-kira lima meter dari tebing tasik dengan operasi disertai 20 termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menyediakan dron dan bot.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, kedudukan perangkap itu selepas pihaknya mengenal pasti laluan aktif buaya berkenaan hasil pemantauan dilakukan selama sehari semalam.
Katanya, setakat ini hasil pemerhatian mendapati hanya ada seekor buaya di tasik ini dari jenis tembaga dan sepanjang 1.5 meter.
“Berdasarkan apa yang kita lihat perilaku buaya ini adalah pergerakan tidak berapa jauh daripada tebing antara tiga hingga lima meter.
“Kita menggunakan perangkap terapung dengan satu akan di pinjam daripada Perhilitan Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Beliau memberitahu, mengikut pengalaman sebelum ini tempoh tangkapan buaya akan mengambil masa sebulan dengan kali terakhir di Serendah dekat sini.
Bagaimanapun, kata Wan Mohd. Adib ia bergantung kepada perilaku buaya tersebut, keadaan sekililing dan jumlah makanan dalam sesuatu lokalitinya.
Beliau turut memaklumkan hasil pemantauannya menunjukkan perilaku buaya di tasik ini didapati kerap timbul dan memudahkan pemantauan dilakukan pihaknya.
“Siasatan mendapati buaya ini telah berada di tasik ini sejak 18 Ogos lalu hasil keterangan daripada individu yang merekod video kehadiran buaya itu yang kemudiannya disahkan kami hasil pemantauan di tasik ini.
“Kalau lihat di sini ada lima saluran air keluar masuk dan kita mendapat kerjasama MBSA dalam memastikan laluan tersebut adalah jaring bagi mengelakkan buaya itu terlepas keluar dari tasik ini,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati pemasangan perangkap dari Perhilitan Selangor mula dilakukan kira-kira pukul 10 pagi dengan menggunakan umpan seekor ayam.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan pengunjung sekitar Tasik Shah Alam, Seksyen 7 di sini diingatkan supaya tidak mendekati kawasan tebing tasik susulan seekor buaya di lokaliti tersebut.
Buaya tersebut berkemungkinan sesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE