fbpx

[VIDEO] Biawak ancaman tangkap buaya tasik Seksyen 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Perhilitan Selangor sedang meletakkan perangkap kedua di Taman Tasik Shah Alam.

SHAH ALAM – Biawak antara cabaran terpaksa dilalui sepanjang tempoh Operasi Buaya Shah Alam di Taman Tasik Seksyen 7 di sini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, ini kerana biawak juga tertarik kepada umpan ayam segar yang diletakkan pihaknya pada kedua-dua perangkap tersebut.

“Pemerhatian kita di tasik ini mendapati memang ada biawak. Jadi, selain menjadi umpan (ayam segar) kepada buaya, juga tarikan kepada biawak.

“Justeru, Perhilitan akan buat rondaan berkala sekiranya perangkap tertutup, kita akan periksa sama ada buaya atau biawak.

“Sekiranya biawak kita lepaskan dan pasang umpan baru sehingga buaya ditangkap,” katanya ketika ditemui di Taman Tasik Seksyen 7, petang ini.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian secara langsung mendapati buaya tembaga sepanjang 1.5 meter yang diburu tersebut timbul pukul 5 petang tadi.

Tambah Wan Mohd. Adib, ini adalah indikator mengesahkan buaya ada di tasik ini.

“Kita pasang perangkap kedua ini dengan jarak dari perangkap pertama adalah antara 150 hingga 200 meter. Manakala jaraknya dari tebing tasik adalah 10 meter.

“Lokasi perangkap ini dikenal pasti adalah laluan utama keliaran terutama pada waktu malam,” ujarnya.

Ditanya sama ada kedudukan perangkap akan berubah, beliau menjelaskan posisinya akan bergantung kepada keadaan semasa.

“Bagi seminggu pertama ini, kita kekalkan kedudukan perangkap ini. Sekiranya buaya tidak masuk, kita ubah posisinya ikut penilaian semasa sehingga buaya ditangkap,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan mendapati pemasangan perangkap buaya kedua bermula pukul 5 petang itu menarik perhatian para pengunjung termasuk kanak-kanak.

Perangkap sepanjang tiga meter tersebut dipinjam daripada Perhilitan Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI