PUTRAJAYA – Seorang lagi doktor dipercayai berkait kes kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang akan ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, doktor tersebut termasuk tiga yang telah ditahan SPRM merupakan rakan subahat yang mana penahanan itu selepas kerjasama dengan pihak Perkeso.
“Ada seorang lagi yang akan ditahan. Hari ini tiga sudah direman,” katanya pada sesi wawancara khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Ditanya sama ada operasi kes itu akan melibatkan negeri lain, katanya ia bergantung kepada keadaan.
“Bergantung apa yang kita dapat. Saya tak boleh janji,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, tiga doktor pakar tulang antara 33 individu direman SPRM antara sehari hingga tiga hari berhubung kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Perkeso melibatkan jumlah kerugian bernilai RM2.1 juta.
Selain tiga doktor berkenaan, 30 individu lagi terdiri daripada 19 pemohon tuntutan, lapan ejen serta tiga orang ‘runner’. – KOSMO! ONLINE