KUALA LUMPUR – Polis merampas pelbagai barangan bernilai RM97 juta selepas menyerbu tujuh buah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di Kampung Telok Gong, Klang, Selangor kelmarin.
Operasi pada pukul 11.30 pagi itu diketuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) susulan risikan sejak April lalu.
Pemangku Pengarah JKDNKA, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, serbuan menyasarkan tujuh premis yang terlibat dalam pemprosesan logam, plastik dan e-waste.
“Pengendali tidak mempunyai dokumen yang sah untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai lima rakyat tempatan dipercayai dalang kegiatan haram ditahan bersama 31 pekerja asing berusia 25 hingga 60 tahun.
“Warga tempatan dipercayai berperanan sebagai penyelaras yang mengambil untung jutaan ringgit, manakala warga asing pula berperanan membawa teknologi dan bahan kimia disyaki dari negara luar untuk aktiviti pemprosesan e-waste.
“Aktiviti ini melibatkan pengekstrakan logam berharga seperti tembaga, besi dan timah,” katanya.
Jelas beliau, JAS dan MBDK mengeluarkan notis penutupan dan merampas peralatan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 22, 25, 34A, dan 34B Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, serta Akta Imigresen 1959/63.
“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut. Pihak berkuasa turut mengeluarkan kompaun kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.-KOSMO! ONLINE.