LUANCO, SEPANYOL – Pelumba berbasikal Belgium, Wout van Aert terpaksa melepaskan jersi hijau selaku Raja Pecut dan jersi polka dot (Raja Bukit) selepas terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan Peringkat 16 Vuelta a Espana kelmarin.
Kemalangan tersebut ternyata mengecewakan buat pemegang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu kerana pelumba berusia 29 tahun berkenaan berpeluang untuk membawa pulang dua jersi berharga pada perlumbaan berstatus Grand Tour tersebut.
Van Aert tampil cemerlang apabila melakar tiga pusingan perlumbaan di Peringkat 3, 7 dan 10 sekali gus membolehkannya memimpin jersi hijau dari Peringkat 3 hingga 15.
Malangnya, kemalangan di kilometer 48 sebelum tiba ke garisan penamat meleburkan hasrat Van Aert untuk menjulang Raja Pecut Vuelta a Espana kerana perlumbaan tersebut hanya berbaki lima pusingan sebelum menutup tirai secara rasminya hujung minggu ini.
Pelumba Alpecin Deceuninck, Kaden Groves yang mengambil alih jersi hijau dari Van Aert, mengakui terkejut dengan kemalangan tersebut.
“Saya tidak menjangkakan langsung dapat jersi hijau ini. Wout (van Aert) mempunyai kelebihan yang sangat meyakinkan dalam klasifikasi mata.
“Sebelum perlumbaan bermula, saya tahu dia akan memenangi jersi hijau dan juga mampu mengekalkan jersi polka dot selepas memimpin perlumbaan sejak Peringkat 13 lagi.
“Ketika itu, saya tidak tahu situasi sebenar, apa yang saya tahu dia telah menarik diri. Ini adalah cara yang sangat menyedihkan untuk mendapatkan jersi hijau.
“Esok (hari ini) benar-benar rumit terutama menerusi cabaran pendakian. Namun, saya rasa ia adalah peringkat yang baik untuk kami mendapatkan catatan masa lebih baik,” kata Groves.
Pelumba Sepanyol, Marc Soler menjuarai perlumbaan tersebut dan Ben O’Connor mengekalkan momentum terbaik untuk meraih gelaran keseluruhan apabila meninggalkan pencabar utamanya, Primoz Roglic dengan kelebihan lima saat. – AGENSI