SHAH ALAM – Kawasan sekitar Taman Tasik Seksyen 7 di sini ditutup sementara mulai malam ini bagi tujuan operasi penangkapan buaya.
Penutupan bermula pada pukul 8 malam hingga 7 pagi dilakukan sehingga operasi menangkap reptilian itu selesai dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.
Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azhar Mohd. Sharif berkata, penutupan taman tasik itu adalah bagi aktiviti riadah seperti berjoging dan memancing yang tidak dibenarkan sama sekali.
“Semua langkah ini diambil bagi memastikan keadaan sekeliling yang lebih sunyi semasa operasi tersebut dilaksanakan. Pada masa sama penutupan ini dilakukan atas faktor keselamatan orang awam bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya hari ini.
Beliau memberitahu, aktiviti perniagaan seperti gerai makanan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga 7 malam.
Mohd. Azhar menambah, Perhilitan Selangor memasang dua perangkap di taman tasik tersebut, manakala pihaknya akan memasang jaring di lima saluran air bagi mengelak buaya terlepas. – KOSMO! ONLINE