fbpx

Sudah kalah judi di luar negara, minta pula bantuan kerajaan – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin. -GAMBAR HIASAN

TANAH MERAH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan terdapat rakyat Malaysia yang kalah berjudi di luar negara dan meminta bantuan kerajaan untuk melangsaikan hutang mereka.

Beliau mendedahkan perkara itu selepas mendapati kes jenayah rentas sempadan terutama pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ada rakyat Malaysia yang kalah berjudi di luar negara sebelum membuat pinjaman dengan sindiket ceti haram di negara terbabit.

“Apabila terjebak judi dan along, mereka telefon kita (kerajaan) untuk membantu. Kita membantu bayar hotel mereka di luar negara sahaja, hutang (along) itu perlu diselesaikan sendiri.

“Rakyat Malaysia yang terlibat kes jenayah rentas sempadan (termasuk judi) dikesan berlaku di kawasan sempadan Thailand dan Myanmar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Tanah Merah di sini hari ini.

Saifuddin memberitahu, isu jenayah rentas sempadan dilihat sangat dinamik kerana ramai rakyat negara ini yang terjebak dan pihak kementerian mempunyai senarai individu yang sudah dan sedang diselamatkan.

“Ada rakyat Malaysia yang dibawa pulang, tetapi mereka pergi semula. Terdapat juga kes mereka pergi untuk berjudi di luar negara tanpa melalui sindiket. Apabila tidak dapat pulang mereka minta bantuan kerajaan,” katanya.

Saifuddin berkata, isu jenayah rentas sempadan merupakan antara topik yang dibincangkan ketika beliau menghadiri Persidangan Menteri ASEAN di Laos minggu lalu.

Selain pemerdagangan manusia, isu jenayah sempadan lain seperti dadah dan senjata api turut dibincangkan pada persidangan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI