KUALA LUMPUR – Didakwa ‘lepas geram’ apabila semakin seksi selepas bergelar janda, pelakon juga pengacara Elly Arifin menganggap persepsi sebegitu hanyalah bersifat individualistik segelintir pihak yang mungkin tidak mengenalinya secara dekat.
Elly atau nama sebenarnya Nurul Elyana Kamalul Arifin berkata, sejak bercerai empat tahun lalu sehingga ke hari ini, memang tiada
sebarang perubahan berlaku pada penampilannya seperti diperkatakan.
“Seksi ke? Saya rasa macam okey sahaja. Saya tak rasa saya seksi pun. Penampilan saya juga sama sahaja walaupun selepas kembali hidup sendiri.
“Mungkin sebelum ini orang tak kenal ketika saya bertugas sebagai wartawan dan pengacara. Kini, rezeki saya lebih dalam bidang lakonan dan pengacaraan.
“Apabila ramai kenal, mungkin dari situ mereka sangka saya makin seksi sedangkan tiada apa yang berbeza,” katanya pada majlis Pelancaran Platform Digital GIG Pempengaruh Tempatan Influenstar Asia Dot Com, malam tadi.
Begitupun, pelakon Anak Perjanjian Syaitan 2 itu menghargai sikap prihatin ramai yang tidak putus memberikan nasihat terhadap penampilannya.
Enggan melenting atau ambil hati dengan dakwaan terbabit, bekas pengacara HLive itu turut menerima teguran yang diberikan dengan berlapang dada.
“Saya nak berterima kasih kepada mereka yang prihatin. Mereka yang berikan nasihat pun, saya sangat hargai.
“Memang banyak komen saya dapat dalam media sosial. Ikutkan
apa sahaja yang kita kongsikan di pastinya ada teguran, sama ada negatif atau positif.
“Saya juga ambil semua kritikan sebagai peringatan demi kebaikan saya terutama untuk hari mendatang,” katanya.
Sebelum ini, Elly dan pelawak Jiggy Masin pernah mendirikan rumah pada 9 September 2016, tetapi bercerai pada Januari 2020.
Tidak dikurniakan anak, Jiggy kembali mendirikan rumah tangga dengan atlet penerjun negara, Dhabitah Sabri 28 April 2023. -Kosmo! Online