fbpx

‘Saya pakai macam ini pun orang akan kritik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATAS tuntutan profesional dan kebijaksanaan produksi, Anna Jobling tidak risau memikirkan kostum duyung yang mungkin akan sedikit mendedahkan tubuhnya apabila memulakan penggambaran tidak lama lagi.

PUTRAJAYA – Bakal beraksi dalam filem Duyung: Legenda Aurora, pelakon Anna Jobling menyimpan gentar untuk bergandingan dengan aktres terkenal, Maya Karin sebagai anak kepada pemegang watak Putri dalam, versi asal naskhah berkenaaan 16 tahun tahun lalu.

“Saya memang sangat gementar nak bawa watak duyung, apatah lagi filem ini merupakan francais Duyung yang menjadi fenomena satu ketika dahulu.

“Saya pula bawa watak anak kepada Maya Karin memang tanggungjawab sangat besar,” ujarnya yang turut teruja untuk beraksi dalam filem arahan Datuk Prof Ts. Dr A. Razak Mohaideen itu.

Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 24, turut tak sabar menunjukkan kemahiran selaku atlet mewakili Selangor dalam sukan renang suatu ketika dahulu.

“Saya memang suka duyung, semasa kecil dahulu saya pernah berangan nak jadi duyung. Akhirnya impian saya tercapai.

“Lagi pun dapat juga saya gunakan kemahiran berenang dalam filem itu. Saya tak pasti kalau ada yang tahu atau tidak tetapi saya pernah menjadi wakil Selangor bagi sukan renang.

“Jadi, tiada masalah untuk saya berenang atau menyelam dalam filem itu nanti,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios Putrajaya, semalam.

Ditanya mengenai soal pemakaian, Anna meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak produksi dan akan berbincang sekiranya pakaiannya tidak selesa.

“Risau ke tak? Saya rasa produksi tahu mereka nak buat apa. Saya rasa, mereka pun tidak mahu orang kecam cerita ini, tak fasal-fasal kena kritik sebab pakaian saya.

“Jadi, saya percaya pada mereka. Kalau saya tak selesa, saya akan beritahu pada produksi tetapi kita pun dah buat ukuran semua, alhamdulillah.

“Ikutkan saya pakai macam ini (longgar) pun orang akan kritik tetapi nak buat macam mana,” jelasnya.

Selain Anna, Duyung: Legenda Aurora bakal dibintangi Maya Karin, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda dan A. Shukoor Mohaideen.

Duyung: Legenda Aurora akan memulakan penggambaran pada 13 September hingga 13 Oktober ini di sekitar Pulau Langkawi, Pulau Payar, Lembah Klang dan Putrajaya.

Filem ini dijangka menemui penonton pada suku tahun ketiga 2025. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI