fbpx

‘Saya guna peluang yang ada, tumbangkan mereka satu persatu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IELIAS tidak ketinggalan meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Putrajaya pada Sabtu lalu.

GERIK – Menembak mati tiga musuh secara taktikal dalam situasi genting di medan perang, merupakan kisah benar yang berlaku semasa perjuangan negara menentang pengganas komunis pada 1970-an.

Situasi umpama filem Hollywood itu dihadapi sendiri seorang Askar Wataniah, Ielias Ibrahim.

Katanya, pada tahun 1976, dia dikerah mengawal keselamatan pekerja pembinaan Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) antara Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan sejauh 120 kilometer.

Pada tarikh 15 Ogos 1977, dia bersama empat anggota lain sedang bertugas tiba-tiba diserang hendap beberapa pengganas komunis di kawasan hutan di Gerik.

Menceritakan detik tersebut, serangan itu menghadirkan tembakan rambang oleh lawan yang mengorbankan dua rakan sepa­sukannya, manakala dirinya cedera di bahagian mata akibat terkena duri pokok sewaktu berdepan asakan tersebut.

“Selepas serangan mengejut itu, keadaan senyap seketika. Saya mendengar langkah dan suara musuh sedang menuju ke tempat saya dan rakan-rakan. Masa itu dalam kepala hanya bermain perasaan reda jika ini lah ajal saya.

“Saya berlakon berpura-pura mati sewaktu mereka datang. Secara pelan-pelan saya cuba menggunakan peluang yang ada untuk menumbangkan mereka satu persatu seramai tiga orang, menggunakan lima butir peluru,” katanya yang turut menjelaskan salah seorang daripada tiga yang dia tembak itu adalah wanita.

LRTB merupakan projek mega kerajaan pada era 1970-an untuk menghubungkan wilayah barat dan timur bahagian utara Semenanjung Malaysia demi pembangunan ekonomi selain dilihat penting dalam memerangi komunis melalui dari selatan Thailand.

Mengikut keterangan Arkib Negara di dalam buku Majlis Pengkisahan Sejarah LRTB pada 22 Ogos lalu, keberanian Ielias mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Gagah Berani daripada Yang di-

Pertuan Agong dan Pingat Keberanian Handal daripada Sultan Perak.

“Sekali gus menjadikan beliau satu-satunya Askar Wataniah yang dianugerahkan dengan ke­dua-dua pingat tersebut,” menurut keterangan tersebut.

Beliau bersara pada 18 Februari 1998 selepas 22 tahun ber­khidmat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI