fbpx

RCI Batu Puteh: 28 Oktober keputusan semakan kehakiman Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Batu Puteh

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Oktober ini bagi keputusan semakan kehakiman yang dikemukakan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Hakim, Datuk Amarjeet Singh menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selaku responden.

Sementara bekas Perdana Menteri itu selaku pemohon diwakili peguam, Zainur Zakaria.

Terdahulu semasa prosiding hari ini, mahkamah diberitahu, rujukan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, tidak menunding jari kepada Dr.Mahathir.

Shamsul yang mengemukakan hujahan bagi pihak Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima Ahli RCI, berkata terma rujukan suruhanjaya siasatan itu tidak menamakan Dr. Mahathir sebagai subjek dalam siasatan.

“Termanya hanya untuk menyiasat dan bukannya menunding jari kepada Tun Dr Mahathir,” katanya.

Sementara itu, Shamsul turut berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman itu kini bersifat akademik kerana siasatan sudah selesai dan laporan sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bulan lalu.

Dapatan RCI itu dijadualkan akan dibentang dan dibahaskan di parlimen pada Oktober ini.

Dr. Mahathir selaku pemohon, memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam afidavit sokongannya, Dr. Mahathir berkata, beliau dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, dia berhak diwakili peguam pilihan.

Dalam pada itu, Zainur yang mewakili Dr Mahathir berhujah, semakan kehakiman itu belum bersifat akademik kerana Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, adalah satu peruntukan keperluan berkanun dan sebarang ketidakpatuhan boleh menyebabkan keseluruhan prosiding RCI terbatal.

Seksyen sama turut memperuntukkan bahawa individu yang kelakuannya tertakluk kepada siasatan, berhak diwakili peguam sepanjang keseluruhan prosiding.

Zainur berkata, Dr. Mahathir adalah subjek dalam RCI, tetapi beliau tidak dibenarkan diwakili peguam melalui prosiding yang dijalankan secara tertutup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI