KUALA LUMPUR – Dua penjaja jeruk mangga dan sebuah perniagaan mencuci kereta dikendalikan warga asing diambil tindakan dalam operasi khas di sekitar Wangsa Maju, di sini, semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan berkata, tindakan itu hasil kerjasama Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju.
“Dalam operasi tersebut, DBKL telah mengambil tindakan sita serta-merta terhadap dua orang penjaja jeruk mangga warga asing di sekitar Jalan 1/27A, Wangsa Maju.
“Selain itu, DBKL juga turut mengambil tindakan sita terhadap tempat mencuci kereta yang dikendalikan oleh warga asing di lorong belakang Jalan Wangsa Setia 2, Wangsa Maju,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Jelas hantaran itu, kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke setor sitaan Jalan Lombong di Taman Miharja Cheras, di sini untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan tertera https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya.- KOSMO! ONLINE.