KANGAR – Seorang wanita dari Bangkok, Thailand berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 5.252 kilogram (kg) heroin pada bulan lalu.
Tertuduh, Aunchan Houbjoo, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan Majistret, Nurshahida Abdul Rahim.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang dan tidak bekerja didakwa mengedar 5.252 kg heroin di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar kira-kira pukul 6.40 petang, 28 Ogos lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kosmo! Online pada Jumaat lalu melaporkan hasrat seorang wanita Thailand untuk menghadiri sambutan hari jadi berkecai apabila ditahan bersama heroin dianggarkan bernilai RM492,375 di Kompleks ICQS Padang Besar.
Wanita terbabit ditahan selepas mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan di dalam bagasi dibawa sebelum pemeriksaan menemui serbuk putih iaitu dadah jenis heroin seberat 5.252 kg. – KOSMO! ONLINE