TANAH MERAH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan secara tertib dan cermat berhubung kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan suaminya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, individu atau watak yang terlibat dalam kes itu sudah dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, selain itu, masih terdapat suspek lain yang dikaitkan dengan kes tersebut akan dipanggil selepas ini.
“Kertas siasatan mengenai kes itu sudah dibuka. Proses siasatan dilakukan dengan tertib dan cermat kerana amalan polis sentiasa melihat daripada semua aspek termasuk mengesan penulis artikel (yang mendedahkan kes itu).
“Semua pihak perlu memberi kerjasama agar polis dapat melengkapkan siasatan berhubung kes itu dalam tempoh yang munasabah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah Jabatan Imigresen di Depot Imigresen Tanah Merah di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis masih mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga sedang mengesan individu bergelar Datuk Seri yang dikaitkan kes itu untuk diambil keterangan.
“Siasatan polis adalah berkaitan pembabitan beliau (Mashitah) dalam dakwaan pemerdagangan orang, itu sahaja.
“Siasatan juga masih diteruskan dengan dengan mengesan Datuk Seri yang didakwa itu serta penulis-penulis artikel termasuk dari Indonesia. Mereka juga perlu dirakam percakapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE