JITRA – Seorang pembantu penyelenggaraan jalan maut manakala tiga rakan sekerja cedera apabila lori dinaiki terbalik ke dalam longkang di susur keluar Kilometer 33.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika lori tersebut bergerak dari arah Bukit Minyak, Pulau Pinang menghala ke Tunjang, dekat sini untuk kerja-kerja pembaikan jalan.
“Sebaik tiba di lokasi, lori itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit yang berada di bahu jalan sebelah kiri. Ia menyebabkan kenderaan itu terbalik dengan kedudukan lori separa tenggelam dalam parit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, tiga lagi mangsa termasuk pemandu yang berusia 27 hingga 45 tahun berjaya keluar dari lori manakala seorang penumpang tersepit.
Tambahnya, kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu berusia 32 tahun itu sehingga menyebabkan kemalangan. – KOSMO! ONLINE