PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport), telah mencatat satu lagi pencapaian dengan kejayaan memecahkan rekod bulanan kendalian kontena dan kargo konvensional untuk bulan kedua berturut-turut.
Pada Ogos 2024, Northport telah mengendalikan kontena sejumlah 365,558 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki) iaitu kendalian kontena bulanan tertinggi syarikat, mengatasi rekod sebelumnya iaitu sebanyak 354,548 TEU yang dicatatkan hanya sebulan sebelumnya.
Syarikat juga memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian 1,145,021 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang juga dicatatkan pada Julai 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, prestasi pecah rekod yang konsisten bulan demi bulan itu adalah gambaran yang jelas tentang pengembangan kapasiti dan peningkatan kecekapan syarikat dalam menguruskan kendalian kargo yang semakin meningkat.
Menurut beliau, pencapaian itu menyerlahkan daya tahan dan keupayaan syarikat dalam bertindak balas kepada cabaran global serta perubahan perdagangan antarabangsa.
“Dengan meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan secara berterusan, kami telah mengukuhkan peranan Northport sebagai pintu masuk penting untuk perkapalan global, yang mampu memenuhi keperluan pelanggan dalam keadaan pasaran yang dinamik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Azman menjelaskan, prestasi pecah rekod berganda yang dicatat oleh Northport pada Ogos 2024 terhasil daripada beberapa faktor antaranya termasuk peningkatan ketara dalam ketibaan kapal ad-hoc.
“Dari Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal ad-hoc.
“Selain peningkatan dalam singgahan kapal ad-hoc, Northport telah turut berjaya menarik beberapa perkhidmatan perkapalan baharu ke terminalnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azman menerangkan, pencapaian terbaharu ini telah meletakkan Northport pada trajektori yang kukuh untuk berpotensi mengatasi rekod pengendalian kontena dan pengendalian kargo konvensional tahunan tertinggi menjelang akhir tahun ini.
“Kami berharap prestasi rekod ini akan membantu usaha kami dalam memastikan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 pelabuhan paling sibuk di dunia pada tahun 2024,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE