fbpx

Nabisha cipta kejayaan sebagai usahawan, trainer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABISHA (kiri) menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Wanita Contoh DUN Batu Tiga.

LOKASI hari pertunangan, acara nikah dan persandingan antara senarai penting kepada pasangan yang mahu berkahwin.

Ini kerana, keindahan dekorasi lokasi majlis penting itu memberi kepuasan kepada tuan rumah.

Menyedari hakikat tersebut, Nabisha Ibrahim tampil dengan idea kreatif menukar sebuah banglo lama berusia lebih 50 tahun kepada dewan majlis yang diberi nama Rumah Abah Event & Wedding.

Bertempat di Jalan Kota Raja, Taman Alam Shah, Klang, Selangor, Nabisha turut mengembangkan perniagaan dengan menawarkan pakej majlis makan malam, minum petang, majlis perpisahan, sambutan hari jadi, hari keluarga dan banyak lagi.

“Ada juga syarikat yang mengadakan latihan kepada kakitangan di sini. Majlis Teater Selangor juga pernah mengadakan majlis minum petang di lokasi kami.

“Mungkin pakej khidmat katering ditawarkan serta lokasinya berhampiran jalan utama membuatkan kami menjadi pilihan,” katanya kepada Aura.

Menurut wanita berusia 49 tahun itu, masakan Cef Darwish juga menjadi antara tarikan pengunjung.

Antara menu yang sering menjadi pilihan termasuk ‘kari kambing abah hang’.

“Kari kambing tersebut adalah signatur di restoran yang pernah kami usahakan sebelum ini.

“Menu ini sangat sinonim dengan pelanggan tetap. Selain itu, ayam masak merah utara turut menjadi kegemaran, selain gulai pisang tumis darat.

“Apa juga majlis, tiga menu utama ini menjadi sebutan, selain masakan lain dari hot kitchen kami seperti Penang char kuetiau, tomyam carbonara, spicy tuna mac & cheese dan lamb chop,” katanya.

Menyorot kembali kisahnya, Nabisha memberitahu, sebelum berniaga, dia memulakan kerjaya sebagai kerani di sebuah firma guaman sebelum meletak jawatan kerana meminati bidang penyediaan makanan.

“Selepas berhenti, saya menceburi bidang membuat mi kuning dan mengalami jatuh bangun dalam perniagaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengalah kerana sering mengikuti kursus penyediaan makanan sehingga menjadikan saya sebagai jurulatih (trainer) kepada usahawan lain.

“Saya juga menjadi tenaga pengajar kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan warung.

“Saya juga membantu memilih menu sehingga teknik pemasaran,” katanya.

Jelasnya lagi, tidak setakat itu, dia juga melatih usahawan menyediakan masakan seperti daging burger dan penyediaan pelbagai jenis sos.

Katanya, pihak masjid dan surau juga sering menjemputnya untuk melatih kariah serta kumpulan asnaf untuk mengeluarkan produk mereka sendiri.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga aktif menganjurkan pelbagai majlis sejak tahun 2019 termasuk 11 program pemasaran digital di beberapa institusi pengajian tinggi serta kolej komuniti.

Hasilnya, dia pernah memenangi anugerah e-usahawan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan menerima geran untuk mengilap bakat penjenamaan diri.

“Kini, saya fokus kepada rumah Abah Event & Wedding yang dimulakan sejak 2019, namun pandemik Covid-19 melanda menyebabkan saya terpaksa menukar strategi.

“Saya berniaga restoran dan menawarkan perkhidmatan katering ketika itu untuk kelangsungan hidup.

“Selepas pandemik, renovasi diteruskan dan sehingga kini sambutan amat menggalakkan,” katanya.

Untuk makluman, Nabisha juga amat meminati kerja-kerja kemasyarakatan dengan komuniti setempat.

Dia juga pernah menerima Anugerah Wanita Contoh DUN Batu Tiga, Shah Alam, Selangor sempena sambutan Hari Wanita pada 2017.

Katanya, kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada dirinya untuk meneruskan usaha terbaik, sekali gus memberi semula kepada komuniti setempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI