PUTRAJAYA – Malaysia melahirkan komitmen untuk memperkasa teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 serta pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Komitmen itu dizahirkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 ketika mengambil bahagian dalam sesi perbincangan meja bulat bersama-sama pemimpin pendidikan antarabangsa di Paris, Perancis pada Isnin.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), Fadhlina menyifatkan potensi teknologi AI perlu terus diteroka untuk menyokong matlamat pendidikan tanpa meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan.
“Fadhlina turut berkongsi pengalaman dengan peserta mengenai inisiatif Malaysia yang sedang giat melaksanakan Reformasi Pendidikan, Kurikulum Persekolahan 2027 serta gerak kerja bagi pelan pembangunan pendidikan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Fadhlina Sidek merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, Xing Qu pada Selasa.
Dalam pertemuan tersebut Fadhlina telah menyatakan hasrat Malaysia untuk berada dalam kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan UNESCO bagi penggal 2025 hingga 2029.
“Ia selaras dengan pengalaman, komitmen, imej dan reputasi baik Malaysia selaku negara anggota yang memainkan peranan aktif dalam menerajui program yang dilaksanakan di peringkat serantau dan global.
“Xing Qu turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen berterusan negara untuk memperkukuhkan agenda UNESCO,” kata kenyataan itu.
Perbincangan antara kedua-dua pihak turut berkisar tentang agenda pendidikan untuk semua, pemerkasaan bidang Sains dan Teknologi serta etika dalam teknologi AI. – KOSMO! ONLINE