fbpx

Mangsa gempa Maghribi masih menanti rumah dibina semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan sebuah bangunan kediaman runtuh akibat gempa bumi di pergunungan Atlas, 8 September tahun lalu. - AFP

RABAT – Hanya 1,000 daripada 55,000 rumah telah siap dibina semula, hampir setahun selepas gempa bumi yang dahsyat menggegarkan kawasan pergunungan High Atlas, Maghribi, lapor akhbar Arab News semalam.

Angka itu didedahkan kerajaan negara tersebut ketika beribu-ribu orang terus tinggal di dalam khemah di bawah cuaca ekstrem pada musim panas dan sejuk.

Gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud yang paling membawa maut sejak 1960, melanda rantau itu pada 8 September 2023 dan membunuh lebih 2,900 orang selain merosakkan infrastruktur penting. 

Ia memusnahkan banyak rumah perkampungan yang didirikan dengan bata lumpur tradisional dan kayu.

Minggu lalu, seorang penduduk tempatan di pusat gempa, Talat N Yacoub berkata, mereka membantah langkah pembinaan semula rumah yang perlahan.

Penduduk menuntut ketelusan dalam pengagihan bantuan dan lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur serta perkhidmatan sosial di kawasan miskin itu.

Setakat ini, sebanyak 97 peratus isi rumah menerima bantuan pembinaan semula rumah daripada kerajaan secara beransur-ansur, kata pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Ia menambah bahawa 63,800 keluarga yang terjejas akibat gempa bumi itu menerima pemberian bulanan sebanyak 2,500 dirham (RM1,113).

Secara keseluruhan, Maghribi merancang untuk membelanjakan sebanyak 120 bilion dirham (RM53.5 bilion) bagi pelan pembinaan semula pasca gempa bumi. Ia merangkumi peningkatan infrastruktur dalam tempoh lima tahun akan datang. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI