KUALA LUMPUR – Sebuah kereta jenis Perodua Axia 1.0 antara hadiah yang disediakan untuk pemenang cabutan bertuah Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 pada 29 September ini.
Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) dalam satu kenyataan media berkata, hadiah lain termasuk telefon bimbit, pakej percutian, televisyen, basikal, peralatan elektrik dan hamper.
“Pelbagai hadiah menarik bernilai lebih RM70,000 untuk cabutan bertuah LKM 2024 pada 29 September 2024.
“YKM menyeru orang ramai terutama peminat sukan mendaftar segera kerana tarikh tutup penyertaan semakin hampir pada 7 September 2024,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut YKM, penyertaan adalah terbuka kepada semua termasuk bukan warga Malaysia dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web https://www.ticket2u.com.my/event/36349/larian-keluarga-malaysia-2024.
Kata YKM, acara larian tersebut akan disertai bekas Perdana Menteri, yang juga Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Duta LKM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa lagenda sukan tanah air.
Antaranya pemenang Goh Liu Ying, Datuk Malek Nor, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Santokh Singh, Roslin Hashim, Datuk Marina Chin dan Datuk Zaiton Othman.
“YKM turut menjemput semua Menteri dan Ahli Parlimen, bekas anggota Kabinet Keluarga Malaysia dan Ketua Setiausaha Kementerian. Yayasan Kebajikan Atlet Negara (YAKEB) merupakan rakan strategik LKM 2024.
“Larian ini turut dikuasakan oleh Keluar Sekejap sebagai podcast rasmi, Hot FM sebagai radio rasmi manakala Free Malaysia Today dan Sinar Harian sebagai media rasmi LKM 2024,” kata kenyataan itu.
Jelas YKM, LKM 2024 merupakan larian amal bagi mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang hilang tempat bergantung akibat pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, YKM memaklumkan, pertubuhan tersebut memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan kira-kira 1,000 anak yatim di bawah kendaliannya mendapat pendidikan yang sempurna dan memastikan kebajikan mereka terbela. – KOSMO! ONLINE