fbpx

Kemampuan Tun M terserlah jika berjaya bawa pelaburan REE ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Mahathir dan Rafizi.

PETALING JAYA – Kemampuan sebenar Tun Dr. Mahathir Mohamad akan terserlah sekiranya beliau berjaya mendapatkan pelaburan asing untuk membawa teknologi pemprosesan nadir bumi (REE) ke Malaysia.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia kerana industri REE dikuasai hampir 90 peratus oleh negara China.

“Teknologi untuk memproses REE hanya dimiliki oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan China. Hanya ada beberapa buah syarikat bukan China yang mempunyai teknologi ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, idea menubuhkan syarikat bersama yang dimiliki kerajaan empat negeri itu untuk membina kilang pemprosesan REE merupakan usaha yang baik.

“Alhamdulillah negeri-negeri yang ditadbir pembangkang (iaitu) Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kini mahu memastikan unsur nadir bumi atau (rare earth elements) diproses di Malaysia dahulu sebelum dieksport.

“Malah, idea ini telah dibincangkan panjang lebar di peringkat Kerajaan Persekutuan dan dalam majlis-majlis bersama yang turut melibatkan pimpinan dari keempat-empat negeri,” jelasnya.

Kata Rafizi, perbincangan di peringkat Kerajaan Persekutuan telah memutuskan agar usaha dimulakan untuk meyakinkan pelabur berkongsi teknologi pemprosesan REE dengan membuka kilang pemprosesan di Malaysia.

“Saya yakin ini persaingan yang sihat. Kerajaan Persekutuan dan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir empat negeri ini berlumba-lumba membuktikan siapa yang paling handal membawa teknologi pemprosesan REE ke Malaysia.

“Jika tidak, rancangan yang diumumkan di Bangi itu hanya kekal menjadi hasrat sahaja,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI