PETALING JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berseloroh meskipun pasukan pilihannya tewas dengan pasukan pilihan Menteri Besar Kedah, namun nasib mereka tidaklah seteruk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran di Facebooknya hari ini bila mengulas aksi persahabatan antara Pilihan Menteri Besar Selangor dan Pilihan Menteri Besar Kedah di Pusat Latihan Selangor FC semalam.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan pasukan Pilihan Menteri Besar Kedah dengan keputusan 8-5. Lebih menarik, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menjaringkan gol buat pasukan itu.
Meskipun tewas dengan jumlah jaringan besar, Amirudin menyifatkan perlawanan tersebut mampu mengeratkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua kerajaan negeri.
“Semalam telah berlangsung perlawanan persahabatan bola sepak antara Pilihan MB Selangor menentang Pilihan MB Kedah di Shah Alam.
“Meskipun kami tewas namun kami tetap mempamerkan aksi yang hebat. Takdelah lauk sangat macam Manchester United,” katanya. – KOSMO! ONLINE.