PETALING JAYA – Seorang pekerja syarikat kurier meluahkan rasa geram ekoran sikap pelanggan apabila pembelian secara ‘cash on delivery’ (COD) seperti dipermainkan.
Menerusi hantaran di TikTok @wanzaquan9, dia berkongsi situasi itu membabitkan seorang pelanggan wanita yang memberikan pelbagai alasan menyebabkan barangan itu tidak dapat dihantar selama dua hari.
“Hantar esok bang, lupa tinggal duit pula. Saya dekat luar ni. Hantar esok sahaja.
“Alamak hari ini saya dah pergi kerja bang. Esok serius saya ambil,” kata pelanggan terbabit setiap kali penghantaran dibuat.
Lebih malang, pelanggan itu akhirnya membatalkan pembelian dengan memberikan alasan belum menerima gaji.
Sehubungan itu, pekerja tersebut turut meninggalkan pesanan kepada pelanggan terbabit.
“Kalau tidak ada duit, jangan beli kak. Jangan janji dan susahkan orang lain,” tegasnya.
Meninjau ruangan komen, rata-rata yang sering menggunakan perkhidmatan COD kecewa dengan sikap wanita berkenaan.
“Sepatutnya mudahkan urusan kurier. Saya siap tinggal duit. Jadi, pekerja itu boleh ambil dalam tabung terus,” kata Wan.
“Aku ni walaupun ada di rumah, duit COD dan selit awal-awal dan bagitahu ‘runner’ (penghantar). Belajarlah mudahkan urusan orang, nanti Allah mudahkan urusan kita,” ujar Asyiqien. – KOSMO! ONLINE