KUALA LUMPUR – Disebabkan tidak mahir ‘bersilat’ di dapur, penyanyi Ezlynn memberi lampu hijau buat suaminya, Wan Mohd. Hafizam untuk beristeri tiga.
Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 42, mengakui kekurangan diri yang masih tidak pandai memasak.
“Saya tak pandai masak. Suami saya pandai. Dia yang akan masak untuk saya dan juga mengemas rumah.
“Saya tak boleh buat kerja-kerja rumah kerana mempunyai masalah eczema.
“Bayangkan suami saya buat semuanya. Jadi dia memang layak untuk mempunyai isteri lebih daripada seorang,” katanya kepada Kosmo Online.
Namun, kata pelantun lagu Hi Hi Bye Bye itu, tidak semua wanita mampu untuk hidup bermadu.
“Poligami bukan untuk semua perempuan. Rasulullah SAW sendiri melarang anak baginda untuk berpoligami.
“Kesihatan mental sangat penting. Kalau anda boleh cakap boleh, kalau tak boleh berpoligami cakap tak boleh pada suami anda. Kalau tidak nanti anda boleh jadi gila. Akhirnya anda akan lakukan dosa.
“Macam saya, saya hanya minta suami saya bertanya khabar dengan saya setiap hari jika dia pulang ke rumah madu saya di Perlis. Cukup sekadar bertanya khabar kerana saya masih tanggungjawab suami saya,” ujarnya.
Ditanya bagaimana hubungannya dengan madunya yang merupakan seorang doktor, kata Ezlynn hubungan mereka baik tetapi tetap ada batas.
“Saya meletakkan batas agar kami sama-sama hidup dengan harmoni. Saya tidak mahu masuk campur urusan dia dengan suami, begitu juga dengannya.
“Apa yang berlaku dalam hubungan mereka, biar mereka sahaja yang tahu dan laluinya.
“Tak perlu untuk kami berkongsi apa yang berlaku dalam hubungan kami bersama suamk kerana takut timbul perasan cemburu dan tidak adil. Kami hanya berkomunikasi jika ada perkara-perkara penting sahaja,” jelasnya.
Tambah Ezlynn lagi, dia turut mengambil pengajaran daripada hubungan suaminya bersama bekas-bekas isteri terdahulu.
“Sebelum berkahwin dengan saya, suami saya pernah hidup berpologami. Mereka ada kumpulan (group) WhatsApp. Namun perkara itu rupanya tidak bagus dalam hubungan berpoligami.
“Jadi saya tidak mahu perkara yang sama berlaku lagi. Lebih baik masing-masing fokus pada hubungan masing-masing.
“Cuma jika madu datang Kuala Lumpur, kami akan keluar makan bersama begitu juga jika saya ke tempatnya,” kongsinya.
Ezlynn juga tidak menghalang suaminya untuk menambah seorang lagi isteri kerana baginya kebahagian suami adalah segala-galanya.
“Dia ada luahkan hasrat untuk berkahwin lagi. Tetapi kali ini dia mahu berkahwin dengan perempuan dari Indonesia pula. Dia nak luaskan wilayahnya. Saya okey sahaja,” katanya sambil ketawa.
Ezlynn dan Wan Mohd. Hafizam mendirikan rumah tangga pada 11 September 2021. Pada Mac 2023, Ezlynn mengizinkan suaminya untuk berkahwin dengan seorang doktor berusia 26 tahun. – KOSMO ONLINE!