KUALA TERENGGANU – Seorang guru Pendidikan Jasmani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelakinya pada tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Hamdi Hanafi, 47, yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Dungun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Berdasarkan, pertuduhan pertama sehingga keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun sembilan bulan di dalam kereta di Jalan Pantai Sura, Dungun dan di sebuah rumah di daerah itu pada 3 dan 10 Ogos 2023.
Mahkamah membenarkan Mohd. Hamdi dibebaskan dengan wang jaminan RM60,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 6 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noradila Ab. Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Afiq Aziz. – KOSMO! ONLINE