JOHOR BAHRU – Siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini mendapati kehadiran gas ammonia yang tinggi disyaki menjadi punca berlaku pencemaran bau di beberapa kawasan sekitar, semalam.
Timbalan Pengarah Kanannya, Mohd. Rashdan Topa berkata, kehadiran gas ammonia itu dikesan melalui ujian yang dilakukan menggunakan alat pengukur gas di kampung ini.
Katanya, pemantauan yang dilakukan pada hari ini mendapati bacaan gas ammonia di kawasan tersebut semakin berkurangan.
“Kita menerima laporan mengenal pencemaran bau adalah pada tengah malam semalam dan bacaan tertinggi yang direkodkan adalah pada pukul 2 petang semalam dan bacaan melebihi AEGL 1 (tahap kepekatan udara selamat).
“Pengawasan kualiti udara yang dijalankan oleh JAS di Sungai Pandan pada pukul 1.10 pagi tadi mendapati bacaan kepekatan Ammonia dan lain-lain parameter adalah normal,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Melayu Pandan, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Rashdan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Pandan sehingga menyebabkan pencemaran bau.
Jelasnya, hasil pemantauan di udara menggunakan dron sejauh dua kilometer mendapati air sungai berwarna kehitaman disyaki oil sheen.