PEMANGKU ketua jurulatih Filipina, Norman Fegidero memulakan perang psikologi dengan mendakwa mereka tidak mempunyai tempoh yang cukup untuk melakukan persiapan menjelang aksi Pestabola Merdeka bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Menurut Fegidero, pasukannya dibelenggu dengan isu luar padang selepas pengendali utama, Tom Saintfiet meletakkan jawatan pada minggu lalu.
Selain itu, Fegidero mengesahkan pasukannya hanya sempat menjalani satu latihan rasmi bersama skuad lengkap selepas kesemua pemain tiba semalam.
“Kami berdepan situasi yang unik, sebahagian pasukan baru tiba semalam (kelmarin) dan ada beberapa pemain tiba hari ini (semalam). Ia cabaran besar buat kami dalam mempersiapkan pasukan.
“Situasi itu terpaksa dihadapi pasukan susulan beberapa pemain yang beraksi di liga luar negara masih memiliki komitmen bersama kelab masing-masing.
“Latihan pertama kami adalah hari ini (semalam) dan kerja saya untuk membentuk pasukan yang boleh memberi saingan (kepada Malaysia),” katanya pada sidang media semalam.
Mengulas lanjut, Fegidero turut mengakui sudah mengkaji corak permainan Harimau Malaya selain melihat Safawi Rasid sebagai antara pemain yang harus dirantai benteng The Azkals.
“Saya mengenali semua pemain dalam pasukan kami dan kebanyakan mereka adalah pemain utama dengan kelab masing-masing. Jadi persiapan kami bergantung kepada pengalaman mereka bersama kelab.
“Mengenai pasukan Malaysia, saya lihat (Safawi) Rasid adalah seorang pemain yang wajar diberi perhatian nanti,” katanya.