fbpx

‘Dont play-play’ kontraktor rambut kerinting but kuning kembali!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEATER Phua Chu Kang: The Greatest Showman akan menemui penonton di Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober nanti.

BERMULA pada 1997 dan berakhir 2007 dengan 167 episod  lapan musim, Phua Chu Kang Pte Ltd menjadi sitkom Singapura paling ‘mendunia’ pada waktu tayangannya.

Turut bermukim di jiwa khalayak Malaysia, watak ikoniknya, Phua Chu Kang ditangani sempurna aktor Gurmit Singh akan selalu terbayang di mata peminat.

Dia seorang kontraktor berambut kerinting, bertahi lalat besar memakai but getah kuning dan mempunyai slanga Inggeris yang cukup pekat bunyi ‘Cinanya’.

Dialog-dialog seperti ‘don’t play-play (berbunyi don’t pray pray)’ atau ‘best in Singapore, JB, and some say Batam’ pula tidak asing dalam kalangan peminat yang mudah terpikat dengan aksi komedi bersahaja lelaki itu.

Kini, sesudah 17 tahun sitkom berkenaan ‘tamat’ menghiburkan peminat televisyen, Phua Chu Kang mahu kembali bertemu secara langsung, sekali gus membawa nostalgia komedi-komedi licik serta segar yang tidak pernah mengecewakan.

Dibawakan Popcorn Studio Sdn. Bhd. selaku penganjur, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober 2024 depan.

Seperti judul panggungnya, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, persembahan  dua malam persembahan penuh warna dan hiburan tersebut yang akan berlangsung secara bersahaja, sementelah kualiti serta bakat luar biasa yang ada pada Gurmit Singh sebagai Phua Chua Kang sudah terlalu akrab di jiwa peminat di Malaysia.

“Apabila disebut bersahaja, itu tidak bermakna Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan berlangsung tanpa persediaan penuh.

“Percayalah Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan melakar sejarah tersendiri apabila dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober 2024 nanti.

“Selain watak ikonik Phua Chu Kang akan dikembalikan secara langsung dengan baik oleh Gurmit Singh, tentu sahaja plot serta persembahan dalam konsep yang ditonjolkan tidak akan membuat penonton rugi.

“Akan terjadi interaktif dua hala dan anda (penonton) bakal terlibat sama sebagai pelakon! Ini akan menjadi dua malam yang yang luar biasa,” ujar Erik Ong mewakili Popcorn Studio.

Bagi sang legenda Gurmit Singh, 59, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan menjadi medan dirinya bertemu secara langsung dengan peminat setelah sekian lama tidak bersua.

Paling mengujakan apabila Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan membuatkan Gurmit sepanggung dan sebabak dengan penonton yang hadir.

“Tentu sahaja saya tidak sabar untuk kembali dengan sesuatu yang segar tetapi masih membawa aura klasik Phua Chu Kang menerusi Phua Chu Kang: The Greatest Show Man. 

“Bagaimana pementasan ini akan berlangsung dan apa yang akan terjadi, datang dan anda akan mendapatkan sebuah persembahan yang tidak pernah dijangka,” ujar Gurmit.

Bukan hanya persembahan komedi ‘kosong’, Russell Curtis dihadirkan untuk menghipnotis peminat dengan bakat muziknya yang hebat. Dengar dan saksikan bagaimana genre folk dan pop mampu menambah suasana hangat pada hari persembahan.

Russell Curtis pula tidak keseorangan kerana Rizal Van Geyzel akan menjadikan dua hari persembahan bertambah kecoh dengan komedi berdiri (stand-up comedy) yang menjadi ‘makanannya’ selama ini.

Gabungan pementasan Phua Chu Kang: The Greatest Show Man, muzik yang mengasikkan daripada Russell Curtis dan komedi Rizal Van Geyzel adalah idea terbaik untuk anda habiskan waktu pada 24 dan 25 Oktober 2024.

Temu janji anda perlu segera dibuat memandangkan tiket pada harga bermula RM100 sedang laju terjual Layari laman sesawang http://www.ticket2u.com.my/pck untuk sebarang pembelian. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI