JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou melakar sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas kedua berturut-turut selepas mempertahankan kejuaraannya pada Sukan Paralimpik Paris 2024 menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Sebaik sahaja mengesahkan kejuaraan, juara dunia perseorangan lelaki sebanyak lapan kali itu berlari mengelilingi gelanggang Porte de la Chapelle, Paris sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Liek Hou berkata, tindakannya berlari mengelilingi arena disebabkan kepuasannya dapat mempertahankan pingat emas, sama seperti dilakukan perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen pada Sukan Olimpik Paris lalu.
Dia juga mendedahkan bahawa pemain No. 1 dunia itu dan legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei serta jaguh perseorangan Singapura, Loh Kean Yew ada memberikan kata-kata semangat kepadanya sebelum perlawanan berlangsung.
“Saya berlari meraikan kemenangan kerana ia sangat bermakna untuk memenangi dua pingat emas berturut-turut. Sebelum ini kita boleh tengok Viktor (Axelsen) dan Lee Yang-Wang Chi Lin (beregu Taiwan) melakukannya pada Sukan Olimpik.
“Viktor ada menghantar pesanan kepada saya memberikan kata-kata motivasi, begitu juga Datuk Lee (Chong Wei) dan Kean Yew. Antara sumber motivasi saya datang daripada mereka,” katanya.
Pada final malam kelmarin, pemain berusia 36 tahun itu mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Suryo Nugroho dari Indonesia menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-15 dalam tempoh 42 minit.
Selain mengekalkan kejuaraan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kemenangan itu turut memberi makna cukup besar secara umum kerana ia adalah pingat emas pertama kontinjen negara di Paris.
“Ia (emas pertama) sangat istimewa dan mungkin menjadi tekanan jika saya tidak dapat melakukannya. Sudah tentu saya gembira dapat mengatasi tekanan, lebih-lebih lagi Menteri (Hannah Yeoh) pun berada di sini memberikan sokongan,” ujar Liek Hou.
Sebagai rekod, Liek Hou bakal menikmati habuan RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) seperti diterimanya ketika menjadi juara edisi Tokyo 2020.