SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta Toyota Corolla milik ibu bapanya sebelum merempuh dua buah kenderaan lain di Taman Arowana Impian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, kanak-kanak itu memandu kereta dengan ditemani jirannya yang juga kanak-kanak berusia sembilan tahun.
Mohamad Hatta berkata, difahamkan kanak-kanak itu memandu kenderaan tersebut untuk ‘joyride’ atau bersiar-siar sebelum terlibat kemalangan dengan van dan kereta Perodua Kancil.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Corolla dipandu kanak-kanak dari arah Apartment Arowana Impian menuju Taman Arowana Impian terbabas di lokasi tersebut.
“Kereta itu terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan van yang diletakkan di bahu jalan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohamad Hatta berkata, van itu kemudian menggelongsor ke hadapan dan melanggar Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.
“Kedua-dua kanak-kanak itu tidak cedera,” katanya.-KOSMO! ONLINE