PETALING JAYA – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, menyatakan beliau kembali teringat detik hitam apabila negara diserang wabak Covid 19 setibanya beliau dan delegasi negara di Vladivostok, Russia awal pagi tadi.
Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri itu berkata, ketika negara diserang wabak berbahaya itu, ujian Tindak balas berantai polimeras (PCR) sering sahaja dilakukan sehingga terasa lubang hidung berkembang.
“Sampai sahaja di Vladivostok terus kena buat PCR test. Sebelum bertolak pun kena buat PCR test juga.
“Teringat kembali detik hitam bila pandemik Covid 19 melanda negara. Kerap betul kena buat PCR test sampai rasa macam lubang hidung dah berkembang.
“Tapi semasa Covid 19 jugalah kita dapat melihat keteguhan semangat rakyat Malaysia, membantu satu sama lain walaupun dalam kesukaran.
“Pandemik Covid 19 meyakinkan saya, walau apa pun cabaran yang melanda, bersama kita akan mampu menghadapinya,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul Bersama beberapa lagi Menteri Kabinet antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 di Vladivostok, Russia.
Mereka juga dijadual bakal bertemu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin. – KOSMO! ONLINE