LONDON – Pemain pertahanan Arsenal, Ben White terus mengambil pendekatan memencilkan diri daripada menyertai skuad kebangsaan England biarpun pasukan itu sudah dikemudi oleh pengurus sementara, Lee Carsley.
Skuad The Three Lions kini dalam persiapan bagi menghadapi aksi Liga Negara-Negara Eropah menentang Republik Ireland yang akan berlangsung 8 September ini sebelum berdepan Finland tiga hari kemudian.
Carsley berkata, situasi tersebut tidak berubah biarpun ada beberapa laporan yang mengatakan pemain berusia 27 tahun itu sedia untuk membuat pertimbangan dan kembali ke dalam skuad kebangsaan.
“Setakat yang saya tahu, dia tidak mahu dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Selepas berada di sini (skuad kebangsaan) lebih dua minggu, tidak ada sebarang perubahan berhubung perkara itu.
“Walaupun saya ada terbaca laporan bahawa dia terbuka (untuk dipanggil) tetapi ia tidak berlaku. Dia bermain sangat baik tetapi enggan dirinya dipanggil, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Sebagai rekod, bekas pemain Brighton itu dikatakan sudah tawar hati untuk bermain bersama England selepas meninggalkan kem skuad Piala Dunia Qatar 2022 lebih awal kerana bertelagah dengan penolong pengurus sebelum ini, Steve Holland.
Selepas peletakan jawatan pengurus terdahulu, Gareth Southgate dan Holland, ramai menjangkakan White akan kembali ke dalam pasukan, namun keadaan itu nyata tidak berubah sama sekali. – AGENSI