PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Vladivostok, Russia hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kunjungannya ke negara tersebut pastinya akan membawa manfaat yang terbaik kepada Malaysia.
“Terutamanya dalam memperkukuh kerjasama serta hubungan kedua-dua negara Malaysia dan Persekutuan Russia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada pukul 6.33 pagi waktu Malaysia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September.
Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 September
Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Russia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Russia memegang jawatan Pengerusi BRICS. – KOSMO! ONLINE