PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertemu Presiden Persekutuan Russia, Vladimir Putin di Kepulauan Russkiy, Vladivostok, Russia.
Melalui hantaran terbaharu Perdana Menteri di Facebooknya, Anwar berkata pertemuan yang berlaku lewat petang tadi itu adalah menekuni hubungan serta tahap kerjasama yang sedia terjalin erat antara dua negara itu.
“Kami menyentuh mengenai pelbagai perkara yang menjadi kepentingan yang dikongsi secara bersama, selain menekankan wujudnya potensi atau peluang yang sedia besar namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kami lantas bersetuju untuk meningkatkan tahap kerjasama yang lebih mantap di semua lapangan selain akan secara bersama mempatri hubungan kerjasama yang lebih baik terutamanya di peringkat antara negara dan persahabatan,” jelas Anwar.
Katanya, dia turut menyatakan kepada Putin bahawa hubungan antara ASEAN dan Russia akan diperkemas dan ditambah baik saat Malaysia mempengerusikan ASEAN kelak.
“Presiden Putin turut berkesempatan mengucapkan yang terbaik buat Malaysia untuk ASEAN kelak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.