PUTRAJAYA – Kerajaan melaksanakan beberapa perubahan penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam melibatkan 12 individu.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan penempatan dan pelantikan baharu itu dilaksanakan seiring dengan hasrat melaksanakan reformasi perkhidmatan awam.
Ia antaranya melibatkan pelantikan baharu Muhammad Razman Abu Samah untuk jawatan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri bagi menggantikan tempat Shamsul Azri sebelum ini.
Jawatan Ketua Setiausaha (KSU) yang bertukar tempat ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi ditukarkan ke Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Azman Mohd Yusoff ke Kementerian Sumber Manusia daripada Kementerian Perpaduan Negara.
Selain itu, ia turut melibatkan Datuk Lokman Hakim Ali (KSU Kementerian Pertahanan), Datuk Seri Isham Ishak (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) dan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (Kementerian Perpaduan).
Pertukaran KSU itu turut melibatkan Datuk Seri Suriani Ahmad (Kementerian Kesihatan), Datuk Awang Alik Jeman (Kementerian Dalam Negeri) dan Datuk Seri Azman Ibrahim (Kementerian Kerja Raya).
Turut berlaku perubahan ialah pelantikan Datuk Abd. Shukor Mahmood sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Shamsul Azri berkata, langkah reformasi itu menuntut kepada kepantasan, ketangkasan dan kedinamikan dalam kepimpinan tertinggi sektor awam bagi mendepani era baharu perkhidmatan awam susulan pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia juga adalah manifestasi kepada sinergi jalinan kerjasama antara agensi serta penghayatan kepada prinsip #taatsetia yang meletakkan keutamaan kepada kesetiaan kepada Raja dan negara dalam merealisasikan aspirasi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE