JAKARTA – Seorang wanita dari Subang, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mempunyai 11 orang anak pada usia 36 tahun, lapor laman berita Merdeka semalam.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di platform TikTok, wanita bernama Liya itu menjelaskan bahawa dia bekahwin dengan seorang lelaki dari Jordan pada usia muda.
Menurut Liya, anak sulungnya berusia 16 tahun. Ini diikuti dengan anak kedua berusia 15 tahun, 14 tahun, 12 tahun, 10 tahun, sembilan tahun, tujuh tahun, enam tahun, empat tahun, dua tahun dan yang paling kecil berusia sembilan bulan.
Tambah Liya yang kini menetap di Jordan, dia hamil hampir setiap tahun sejak berkahwin pada 2007.
“Inilah keluarga besar saya. Sejak berkahwin, saya belum pernah pulang ke Indonesia kerana hampir setiap tahun hamil dan melahirkan anak.
“Doakan kami dapat pulang ke Indonesia dan tiada halangan,” ujarnya.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Banyak anak, murah rezeki,” kata seorang netizen.
“Zaman sekarang jarang kita mendengar orang mempunyai anak ramai. Semoga anda sekeluarga sentiasa sihat,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI