fbpx

[VIDEO] Konon nak tukar duit, wanita warga asing buat ‘magic’ songlap RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video rakaman CCTV tular memaparkan wanita warga asing yang memperdayakan juruwang untuk mendapatkan RM100.

PETALING JAYA – Taktik ‘silap mata’ seorang warga asing yang kononnya ingin menukar duit di sebuah restoran merugikan pemilik premis apabila dengan mudahnya memperdayakan juruwang untuk mendapat RM100.

Kejadian itu dirakam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) serta dimuat naik oleh restoran tersebut, Zam Ikan Bakar menerusi akaun TikTok dan Instagramnya sehingga tular di media sosial.

Menurut pengurusnya, Fadhuli Zawawi, kejadian tersebut berlaku pada 27 Ogos lalu kira-kira pukul 1.30 petang.

Ujarnya, ketika itu juruwang di kaunter utama didatangi oleh seorang wanita warga asing bertudung kuning dan memakai pelitup muka berwarna hitam yang bercakap Bahasa Inggeris.

“Wanita warga asing itu kata dia ingin menukar duit not RM100 kepada duit lebih kecil. Juruwang pun ambil duit dia dan letakkan di dalam ‘drawer’ mesin.

“Apabila juruwang menghulurkan duit tukar iaitu not RM50 sebanyak dua keping, tiba-tiba warga asing itu kata tidak mahu. Sambil bercakap-cakap benda lainlah. Jadi juruwang saya hulur semula duit RM100 sekeping dia tadi.

“Kalau tengok dalam CCTV, dia (warga asing) ambil dengan gerakan laju dan sembunyikan bawah tudung. Kemudian dia hulur tangan konon kata tak terima kembali duit RM100 dia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Fadhuli, akibat mungkin rasa ditekan dan terperdaya dengan kata-kata warga asing itu, juruwang tersebut akhirnya menyerahkan sahaja RM100 lain dari laci wang sebelum warga asing itu berlalu pergi.

“Kami akui memang kesilapan juruwang sebab tidak peka. Dalam video CCTV tu pun kami dah sunting jadi perlahan, tapi situasi sebenar memang berlaku betul-betul pantas.

“Juruwang sedar ada ‘short’ duit bila mana mereka buat ‘closing’ malam tu. Terus saya semak CCTV dan dapati warga asing itu pun ada pergi ke kaunter juruwang kedai kami yang berada di lot sebelah.

“Tapi mungkin tak berjaya perdaya, itu yang dia cuba di kaunter utama. Jumlah kerugian pada hari tersebut adalah RM100,” katanya.

Terdahulu, video tular itu mendapat lebih 1.1 juta tontonan, 19,300 tanda suka dan 4,082 perkongsian.

Rata-rata orang ramai khususnya mereka yang pernah bekerja sebagai juruwang turut berkongsikan kisah yang sama apabila diperdaya oleh warga asing sehingga menyebabkan kerugian.

Bercerita lanjut, Fadhuli berkata semenjak kejadian itu, restorannya menetapkan polisi untuk tidak membenarkan para pelanggan menukar duit di kaunter juruwang bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali.

Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu yang sebelum ini hanya dilihat terjadi kepada peniaga lain akhirnya berlaku kepada restoran tersebut.

Jelasnya lagi, tiada laporan polis dibuat dan perkongsian videonya itu hanya sekadar ingin memberikan kesedaran kepada para peniaga di luar sana untuk berhati-hati.

“Sebenarnya kejadian begini kali pertama berlaku kepada restoran sepanjang 20 tahun beroperasi.

“Lepas tular video itu, Balai Polis Cyberjaya ada telefon tanya kami nak buat laporan untuk mereka jalankan siasatan atau tidak.

“Tapi kami tidak buat laporan, namun cuma berharap pendedahan ini dapat membuka mata-mata para peniaga di luar sana untuk tidak terkena macam kami kena,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI