fbpx

Thailand tangkap 1.3 juta kilogram ikan tilapia invasif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR 15 Julai lalu menunjukkan bakul berisi tilapia dagu hitam yang ditangkap di sebuah terusan di Bangkok. – AFP

BANGKOK – Thailand telah menangkap lebih 1.3 juta kilogram ikan tilapia dagu hitam, kata kerajaan hari ini ketika pihaknya bergelut menghapuskan spesies invasif itu.

Seekor tilapia dagu hitam boleh menghasilkan 500 anak ikan pada sesuatu masa. Kawanan ikan itu ditemui di 19 wilayah di Thailand. Ia merosakkan ekosistem di sungai, paya dan terusan dengan memakan  ikan kecil, udang serta larva siput.

Selain kesan ekologi, kerajaan bimbang spesies itu boleh memusnahkan industri penternakan ikan yang penting kepada negara.

Pihak berkuasa perikanan menangkap 1,332,000 kilogram ikan tilapia hitam antara Februari hingga 28 Ogos tahun ini, demikian menurut Nattacha Boonchaiinsawat selaku  naib presiden jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan bagi  menangani populasi tilapia hitam.

“Kami bercakap dengan penduduk tempatan dan mendapati penyebaran tilapia kini semakin buruk. Mereka menemui ikan ini di dalam terusan-terusan kecil. Perkara ini  tidak pernah berlaku,” katanya kepada AFP.

Menurutnya, ‘wabak’  tilapia dagu hitam boleh menyebabkan ekonomi Thailand mengalami kerugian sekurang-kurangnya 10 bilion baht (RM1.37 bilion).

Ikan berasal dari Afrika Barat itu pertama kali ditemui di sungai Thailand pada 2010 sebelum merebak dengan cepat pada 2018. Ia kini turut ditemui di sungai-sungai di negeri Florida dan Filipina.

Pada Julai lalu, kerajaan Thailand mengisytiharkan pembasmian spesies itu sebagai keutamaan negara dan mula menggalakkan orang ramai memakan tilapia dagu hitam.

Aktiviti promosi di wilayah Phetchaburi,  tengah Thailand mengiklankan sos ikan dan sosej berasaskan tilapia.

Restoran-restoran  juga semakin menggunakan ikan itu  dalam masakan terutamanya  digoreng bersama  bawang putih atau dijadikan ikan masin.

Masih tidak jelas bagaimana ikan itu tiba di Thailand, tetapi laporan media tempatan mengatakan ia mungkin diimport oleh sebuah syarikat dari Ghana pada 2010.

Siasatan parlimen sedang dilakukan bagi mengenal pasti menentukan punca pembiakan tidak terkawal itu, kata Nattacha.

Kerajaan Thai telah menggalakkan penduduk tempatan menangkap ikan itu dengan menawarkan harga 15 baht (RM1.90) untuk satu kilogram.

Kerajaan juga telah menetapkan 75 kawasan jualan di seluruh negara di mana ikan itu boleh dijual.  – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI