KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan antara intipati yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri adalah melibatkan usaha penambahbaikan Malaysia Airlines (MAS).
Katanya, setiap minggu ia menjadi topik perbincangan, namun usaha untuk memulihkan reputasi MAS sudah dimulakan.
“Usaha memulihkan telah dimulakan, saya ucapkan tahniah, tetapi ia mengambil masa, kerajaan hampir setiap minggu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, tiap-tiap minggu kita bicarakan untuk selamatkan (MAS),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-30 Khazanah Nasional di Mitec, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi Khazanah berkata, kemerosotan prestasi MAS disebabkan kesilapan terdahulu akibat keputusan-keputusan politik tidak telus sekali gus membuka ruang kepada kroni untuk merosakkan syarikat yang pernah dibanggakan selama ini.
Justeru itu, katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan MAS kembali unggul sebagai peneraju syarikat penerbangan negara.
“Khazah (Khazanah Nasional Berhad) bersama Lembaga Pengarah MAS dan kerajaan komited untuk mengangkat semula (prestasi MAS) dengan apa cara yang munasabah,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa insiden melibatkan pesawat MAS yang terpaksa berpatah balik telah menyaksikan imej syarikat penerbangan negara itu semakin tercalar sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengguna.
Insiden terbaharu melibatkan pesawat MH66 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam berikutan isu teknikal berkaitan sistem hidraulik.
Ini merupakan insiden kelima melibatkan penerbangan MAS terpaksa berpatah balik atau dilencongkan dalam tempoh kira-kira sebulan.- KOSMO! ONLINE.