fbpx

Selangor lepas air empangan hadapi Monsun Timur Laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empangan Klang Gates

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memulakan strategi pengurangan kapasiti empangan secara optima melalui pelepasan air di tujuh empangan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, kawal selia dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bermula 16 Ogos lalu sehingga 30 September ini.

Katanya, enam empangan akan dikurangkan kapasiti simpanan air ke tahap 90 peratus kecuali bagi Empangan Klang Gates pada tahap 85 peratus.

“Tindakan penurunan kapasiti simpanan air empangan ini merupakan inisiatif LUAS untuk menyediakan ruang yang mencukupi bagi kesemua empangan untuk tujuan kesiapsiagaan sekiranya menerima kadar intensiti hujan yang tinggi.

“Ini juga bagi mengelakkan limpahan air empangan yang berpotensi menyebabkan kesan banjir di bahagian hilir daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kawalan pelepasan air empangan ini akan disemak atau dikaji semula berdasarkan kepada perubahan cuaca yang dijangkakan bermula 1 Oktober ini dengan tidak melebihi simpanan 95 peratus bagi semua empangan kecuali Empangan Klang Gates pada tahap kapasiti 90 peratus sebelum 15 Disember depan.

Izham memaklumkan, berdasarkan rekod pemantauan Integrated Water Resources Management System (IWRIMS), LUAS mendapati berlaku peningkatan empat peratus kapasiti simpanan air Empangan Klang Gates berikutan hujan lebat pada 12 Ogos lalu dengan jumlah 75 milimeter di kawasan tadahan Empangan Klang Gates.

Bagaimanapun, katanya, tiada berlaku sebarang limpahan dari empangan tersebut susulan ruang yang masih mencukupi untuk menampung kadar hujan luar biasa pada masa ini.

“Sebarang pelepasan air empangan dilaksanakan secara berperingkat dan dikawal rapi oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi kesemua empangan-empangan yang terlibat.

“Ini mengambil tren paras air sungai semasa serta ramalan cuaca dalam tempoh tujuh hari ke hadapan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET MY). Sehubungan itu, tiada pelepasan akan dibuat sekiranya paras air sungai menunjukkan tren meningkat serta hujan yang lebat di kawasan hilir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI